MINA: Bumi yang penuh sejarah dan mukjizat
by Hamza Rahman on Tuesday, November 9, 2010 at 5:59pm
Mina terletak dalam kawasan Tanah Haram antara Mekah dan Muzdalifah. Terletak 7 km dari Muzdalifah dan 4 km dari Masjidil Haram. Tempat ini dinamakan Mina kerana disinilah banyak darah korban ditumpahkan. Ia juga bermaksud tempat manusia berkumpul kerana di sini tempat berkumpulnya jemaah haji. Mina juga bermaksud harapan atau cita-cita. Dinamakan Mina kerana terdapat kisah ketika Malaikat Jibrail as mahu berpisah dengan Nabi Allah Ibrahim as. Jibrail telah bertanya kepada Nabi Ibrahim tentang perkara yang dihajatinya, lalu dijawab Nabi Allah Ibrahim, "Aku mengharapkan syurga."
Mina adalah satu tempat yang terpencil yang hampir kosong pada waktu lain, didiami oleh orang-orang berketurunan Quraisy. Di tanah Minalah Nabi Allah Ibrahim as melakukan qurban anaknya Nabi Allah Ismail as yang akhirnya digantikan dengan binatang kibas. Sejarah pengorbanan ini menitiskan airmata sesiapa yang mendengar akan kisah bersejarah itu. Semua ini dilakukan oleh seorang bapa yang patuh pada suruhan Allah Taala dan kepatuhan seorang anak remaja pada perintah Tuhan juga kepatuhan seorang anak pada ayahnya.
Tempat berlakunya qurban itu ditandaikan melalui pembinaan sebuah mesjid yang dikenali sebagai Masjid Al-Kabsy. Masjid ini masih wujud lagi pada sekitar tahun 1402 H dan pada tahun 1424 H atas alasan pembesaran jamrah maka masjid itu diruntuhkan.
Sewaktu Hajjatul Wada', Rasulullah saw telah mengorbankan 100 ekor unta dan 63 ekor daripadanya disembelih oleh tangan baginda sendiri. Manakala selebihnya oleh Saidina Ali ra. (Shahih Muslim No. 1218)
Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Mina itu seperti rahim. Ketika terjadi kehamilan daerah ini diluaskan oleh Allah." (al-Hadits)
Inilahlah kelebihan bumi Mina yang juga mukjizat yang Allah anugerahkan kepada Mina, di mana pada hari-hari biasa, ia sebagai daerah yang yang sunyi, kecil dan sempit. Dengan kedatangan musim haji, bumi Mina dapat menampung berjuta-juta manusia yang berpusu-pusu datang.Inilah maksud hadith, ia diumpamakan seperti rahim ibu, akan mengembang dan meluas apabila menampung jemaah haji yang ramai tanpa disedari oleh jemaah. Masyaallah. Allah Yang Maha Berkuasa (al-Muqtadir) ke atas setiap sesuatu tanpa dapat difikirkan oleh akal manusia.
Selain dari sejarah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim ke atas anaknya Nabi Ismail as terdapat lain-lain sejarah besar yang berlaku di bumi Mina ini. Surah al-Mursalat diturunkan di Mina ketika Nabi Muhammad saw berada di dalam sebuah gua sehinggakan gua tersebut dikenali sebagai Gua Mursalat. Gua tersebut terletak di belakang Masjid Khaif.
Pun begitu turunnya Surah An-Nasr juga dikatakan di Mina pada hari Hujjatul Wada'.
Kawasan sempadan Mina ialah dari Wadi Muhassir hingga ke Al-Aqabah(jamrah yang terdekat dengan Makkah juga disebut Jamratul Aqabah). Jamratul Aqabah ini tidak termasuk dalam Mina dan ia merupakan sempadan Mina. Ada tiga tempat lontaran iaitu di Jamrah Al-Aqabah (besar), Jamrah Al-Wustha (tengah/kedua) dan Jamrah As-Sughra (kecil). Rahsia dan hikmah melontar jamrah adalah rentetan sejarah perjalanan Nabi Allah Ibrahim yang diganggu Iblis semasa sejarah pengorbanan ke atas anaknya. Nabi Ibrahim as telah melontar batu ke arah Iblis di setiap tempat perhentian godaan Iblis itu. Melontar jamrah bagi jemaah haji merupakan simbolik peperangan atau berjihad menentang setiap pujukan Iblis Laknatullah itu.
Melontarlah dengan 7 ketul batu dan pada setiap kali lontaran, angkat tangan kanan dan baca:
بسم الله الله اكبر رجما للشيطان وحزبه
Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, lontaran pada syaitan dan kumpulannya.
Doa yang bacakan adalah seperti yang terdapat di surah ali-Imran ayat 8.
"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunujuk kepada kami, dan kurniaknalah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi."
Doa inilah yang setiap kali kita membacanya selepas sembahyang fardhu...
Hikmah melontar jamrah ini bolehlah diumpamakan sebagai sebuah perjuangan untuk mencapai kasih sayang serta syurga Allah. Setiap pengorbanan yang ikhlas padaNya diganjarkan dengan pahala dan tempatnya adalah syurga.
Menurut sirah, perjanjian Aqabah I dan II berlaku berdekatan dengan Jamratul Aqabah ini. Di sinilah Nabi Muhammad saw menerima sumpah setia (bai'ah) daripda kaum Ansar dahulu. Manakala Wadi Muhassir yang merupakan sempadan antara Mina dan Muzdalifah meninggalkan satu sejarah yang dilupakan orang. Ia merupakan sebuah lembah dan perkataanMuhassir diambil dari kata Hasr yang bererti lemah. Dilembah inilah tentera bergajah Abrahah tiba-tiba menjadi lemah dan tidak mampu meneruskan perjalanan dalam operasi meruntuhkan Kaabah. Di sinilah Allah telah mengirimkan burong Ababil yang memusnah Abrahah dan tentera bergajahnya dengan menggugurkan batu-batu dari Neraka hingga mereka menjadi hancur berkecai seperti daun kayu yang dimakan ulat.
وارسل علبهم طيرا أبابيل, ترميهم بحيجا رة من سجيلو فجعليهم كعصف مأ كول.....سورة الفيل 3 دان 4
"Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) berpasuk-pasukan; Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun yang dimakan ulat."
Rasulullah saw apabila saja melalui tempat ini cepat-cepat menggerakkan unta betinanya. Pun kita disarankan agar mempercepatkan jalan atau kenderaan bila melalui tempat ini.
Demikianlah sirah mukjizat bumi Mina selain daripada kepentingannya dalam menunaikan rukun haji. Bagi para jemaah haji mereka digalakkan tinggal selama 3 hari di samping melontar di ketiga-tiga jamrah dan menyembelihkan binatang qorban. Kepentingan bumi Mina terserlah bila Tahalul Awal kena dilakukan disini di mana melontar Jamrah Aqabah (wajib) dan bercukor atau bergunting (rukun). Lain-lain wajib haji adalah bermalam dan melontar ketiga-tiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Jemaah haji akan memulakan perjalanan dari Muzdalifah ke Mina sebelum terbit matahari atau selepas separuh malam 10 Zulhijjah. Dalam masa perjalanan itu banyakkanlah membaca bacaan talbiyah ini.
لبيك اللهم لبيك, لبيك لا شريك لك لبيك, إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك
Moga kita semua menjadi tetamu Allah semasa di dunia ini dan di akhirat sana nanti dengan sajian nikmat syurgaNya.
Al-Hakir wal Faqir ilallah,
Hamza Rahman Asy-Syathary
No comments:
Post a Comment