Sunday, 21 February 2010

Ya Allah! Jangan serahkan kami kepada diri kami!


Ya Allah! Janganlah serahkan kami kepada diri kami!.
Telah berkata Yahya Bin Muaz rahimahullahu taala dalam doanya;

"Ya Allah! Jika aku telah mengenaliMu, maka Engkaulah yang telah memimpinku, dan jika aku memohon kepadaMu, maka Engkaulah yang telah menginginiku , dan jika aku mencintaiMu, maka Engkaulah telah memilihku, dan jika aku mentaatiMu, maka Engkaulah yang telah memberikan taufik, dan jika aku kembali kepadaMu, maka Engkaulah yang akan melindungiku!".

Sesungguhnya kehidupan kita dibawah kekuasaanNya disetiap detik kita menghirupkan udara pemberianNya. Allah Taala tidak menyerahkan diri manusia yang beriman kepada diri mereka sendiri. Juga tidak kepada ketaatan akan amal ibadat mereka, juga bukan kerana banyaknya zikir (ingatan) mereka kepadaNya. Allah Taala mengurniakan kepada para hambanya dengan kelebihanNya dan rahmatNya. Dia tidak pernah meminta balasan akan segala nikmat yang melimpah ruah yang dikuriniakan saban masa dan ketika melainkan mengESAkanNya.

Bahkan Dia memelihara para hambanya yang beriman di dalam benteng belas-kasihanNya, dan menurunkan ke atas hambaNya akan hujan rahmatNya daripada awan gemawan kelebihanNya dan inayahNya. Sesungguhnya Allah Taala adalah sebaik-baik hakim dan tiada menganiaya akan hamba-hambaNya.