Sunday 12 September 2010

Mari kita akui kelemahan diri dengan selalu beristiqfar.

by Hamza Rahman on Sunday, September 12, 2010




وخلق الانسان ضعيفا

Maksudnya: “Dan dijadikan manusia dalam keadaan lemah (doif)."

Manusia tidak terlepas dari membuat dosa. Orang  kecil atau besar. Dosa  kecil ataupun dosa besar. Baik disengajakan ataupun tidak disengajakan. Baik setiap saat, jam, hari, minggu, bulan atau tahun kerana dosa pasti terpalit disepanjang ranjau kehidupan. Allah yang Maha Pencipta telah mencipta manusia sudah mengetahui watak manusia yang sedemian rupa. Dia mengetahui bahawa manusia mudah saja berbuat dosa. Dia mengetahui apa2 saja yang terlintas, terdetik yang tersembunyi di hati sanubari hamba ciptaanNya apalagi perbuatan zahir manusia kerana Dia Maha Mengetahui Lagi Maha Halus.

Kerana sifatNya Yang Maha Pencipta, juga Maha Pengampun dia mengampunkan hamba2nya yang mengaku akan setiap kesalahan yang dilakukan. Perbuatan meminta ampun, memohon kemaafan yang ertinya mengakui kesalahan itu dipanggil istiqfar. Kerana sifatnya Yang Maha Pengampun, Maha Pengasih Lagi maha Penyayang itulah maka sebanyak mana manusia itu berbuat dosa maka dengan rahmatNya Dia mengampunkan dosa2 manusia yang memohon keampunan dariNya. Walaupun dosa2 itu sebanyak bintang di langit atau sebanyak buih di lautan pasti disambutnya sekiranya manusia itu tersedar dan mahu bertaubat memohon keampunan.

Firman Allah berbunyi:

وان استعفرواربكم ثم توبوااليه يمتتعكم متا عا حسنا الى اجل مسمى

Maksudnya:”Dan hendaklah kamu mengucapkan istiqfar minta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kamu nescaya Dia akan memberikan kesenangan hidup yang baik sampai kepada ajal kamu yang tertentu”.

Itulah janji Allah. Disuruhnya kita beristiqfar memohon ampun kepadaNya. Kemudian janjinya kepada hamba yang mukmin yang meminta ampun dan kembali bertaubat, akan diberikan kehidupan yang bagus lagi baik sebelum dia meninggalkan dunia.

Allah swt juga menyarankan agar kita jangan kedekut dan bakhil meminta ampun bagi diri orang lain. Maksudnya janganlah kita hanya memohon ampun untuk diri sendiri sahaja. Mereka mungkin juga ibubapa kita, kaum kerabat kita, sahabat2 kita, jiran ketangga kita hatta mana2  orang mukmin lelaki maupun perempuan kerana mereka adalah saudara seagama kita. Jadi janganlah kita melupai mereka.

واستعفرلذ نبك وللمؤمنين والمؤ منات  

Maksud:”Minta ampunlah engkau kerana dosamu dan dosa orang beriman lelaki dan wanita”.

Dan setiap hari jangan dilupai memohon keampunan untuk kedua ibubapa baik mereka masih hidup maupun telah meninggal seperti yang diajar Allah dalam Al-Quran.

وقال ربنا اغفرلى ولوالدي وللمؤمنين يوم يقوم الحساب

Maksud: Dan katakan: Ya Tuhan kami, ampunilah daku dan kedua orang tuaku dan orang2 mukmin di hari bangkit berhisab (kiamat).

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani dari Ubadah bin Shamit bahwa Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa meminta ampun bagi orang2 mukmin lelaki dan wanita, maka Allah tuliskan setiap mukmin lelaki dan wanita akan kebajikan”.

Nah betapa sayangnya yang dikatakan Tuhan Maha Pencipta itu pada barang yang dciptaNya. Dan kalau kita memohon ampun bagi orang lain pun mereka akan mendapat keampunan Allah, apalagi kita berdoa, bersedekah apa2 kebajikan untuk mereka, insyaAllah sampai pahalanya kepada mereka. Bayangkan berapa ramainya orang2 mukmin lelaki dan wanita di permukaan bumi ini dan setiap istiqfar yang ditujukan untuk mereka kita pula mendapat pahala kebajikan sejumlah banyaknya.

Berapa banyak kita kena beristiqfar setiap hari? Sekoman2nya untuk diri sendiri saja, ucaplah istiqfar itu saban hari setiap kali lepas sembahyang. Banyak mana? Lagi banyak lagi baik. Nabi Muhammad saw setiap hari paling minima pun seratus kali! Itu baginda yang tidak melakukan dosa2. Kita pula bagaimana?? Cukupkah tiga kali, atau tujuh kali atau lebih sikit sepuluh kali selepas sembahyang sehari semalam? Kita tolong jawablah sendiri!

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
وَاَللَّهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَاب

No comments:

Post a Comment