Wednesday 10 November 2010

MUZDALIFAH : Rahsia dan Hikmah bermalam di situ.

by Hamza Rahman on Wednesday, November 10, 2010 at 5:20pm
"Tidak ada dosa bagimu mencari limpah kurnia dari Tuhanmu. Maka apabila kamu telah bertolak dari Padang Arafah, berzikirlah pada Allah di Masy'aril Haram." Al-Baqarah : 198

Dalam Tafsir Ibnu Katsir,  Ibnu Umar ra menyatakan yang dimaksudkan Masy'aril Haram dalam ayat tersebut adalah Muzdalifah. Bagi sebahgian kitab Fiqh, istilah lain bagi bermalam di Muzdalifah disebut sebagai 'bermalam di Masy'ar.''

Bermalam di Masy'ar adalah adalah termasuk dalam perkara wajib haji. Meninggalnya wajib kena bayar dam. Rasulullah saw bersabda:

"Dan saya wukuf (berhenti / bermalam) di sini (Muzdalifah). dan semua kawasan Muzdalifah adalah tempat wukuf (berhenti / bermalam)."   ( HR Abu Daud, An-Nasari, Ad-Darimi)

Dalam Shahih Bukhari (Al-Hajj, 1673) Rasulullah saw solat jamak Maghrib dan Isya' di sini. Selesai solat, baginda berbaring dan bersolat Subuh. Kemudian baginda berdoa, mengucap takbir dan tahlil serta mentauhidkan Allah. Setelah selesai baginda bertolak ke Mina. Dari sebab itulah Muzdalifah merupakantempat mabit (bermalam) jemaah haji dari Arafah ke Mina. Sebelum berangkat mereka mengutip batu kerikil untuk kerja-kerja melontar di Mina. Bagi yang lemah dan para wanita dibolehkan keluar awal sebelum terbitnya matahari untuk ke Mina. Selalunya jemaah dari Malaysia bertolak keluar selepas jam 2 pagi.

Masijid Al-Masya'ar Al-Haram yang merupakan tanda tempat Rasulullah saw bermalam di Muzdalifah terletak 5 km jaraknya dari Masjid Khaif di Mina dan 7 km dari Masjid Namirah di sempadan Arafah. Masjid ini dinamakan Al-Masy'ar diambil dari kata Asy-Syi'ar yang bermaksud alamat atau tanda. Manakala Al-Haram pula kerana kedudukannya yang berada di dalam Tanah Haram. Jadi disebut Masijid Al-Masya'ar Al-Haram.

Oleh kerana Muzdalifah adalah jalan dari Arafah ke Mina jadi bumi Muzdalifah ini terletak di antara Arafah dan Mina. Sempadannya adalah Wadi Al-Ma'zamain dan Wadi Muhassir. Dinamakan Muzdalifah kerana manusia berkunjung ke sana pada permulaan malam atau tengah malam dan keluar dari tempat ini ke bumi Mina secara serentak. Ada mengatakan di namakan Muzdalifah kerana Nabi Adam dan Hawa pernah berkunjung  ke sana.

Rahsia dan hikmah bermalam di Muzdalifah ialah untuk mempersiapkan diri berperang dengan syaitan. Berehat sebentar mengumpul tenaga sebelum menuju ke Mina.Tulah yang dok kutip anak-anak batu untuk dilemparkan kat Mina! Dan itulah simbolik menyiapkan persiapan senjata untuk dibawa berperang dengan syaitan persis yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim as. Syaitan akan menggoda apalagi pertumpahan darah binatang qorban yang akan berlaku di bumi yang penuh mukjizat iaitu Mina.

لبيك اللهم لبيك, لبيك لا شريك لك لبيك, إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك

Moga kita semua menjadi tetamu Allah semasa di dunia ini dan di akhirat sana nanti dengan sajian nikmat syurgaNya.

Al-Hakir wal Faqir ilallah,
Hamza Rahman Asy-Syathary

No comments:

Post a Comment