Friday 12 November 2010

ARAFAH: Bumi bertuah dan Sumber Sejarah


Bila melihat saja papan tanda Arafah Starts Heresahlah anda sedang memasuki Arafah dan kalau teruskan perjalanan dan lihat pula papan tandaArafah Ends Here, patah balik kerana sebenarnya anda telahpun berada di bumi Arafah. Inilah yang dikatakan Padang Arafah, sebuah padang pasir yang luas kira-kira 25 km timur Kota Makkah. Luasnya adalah sekitar 3.5 x 35 km persegi. Padang Arafah dulu adalah berkering kontang tapi sekarang sudah ditumbuhi pokok-pokok. Tulah jangan melenting, marah-marah tak tentu fasal bila orang sebut saja nama Soekarno, bekas Presiden Republik Indonesia. Ada juga jasanya di sini! Dikatakan orang bahawa asal pepohonan kayu di sini adalah sumbangan Allahyarham Soekarno. Moga Allah anugerahkan pahala kepada beliau.

Jadi kalau dah berihram (jemaah haji) janganlah suka-suka memetik ataupun mematahkan daun maupun dahan kayu, ataupun geram hendakmencederakan atau membunuh binatang. Pun ulat beluncas yang dok rehat atas daun. Jika buat, nanti kena denda…Dam!

Di Padang Arafahlah jemaah haji menunaikan rukun wuquf. Wuquf adalah salah satu dari rukun haji dan kalau tertinggal alamat tak sahlah haji. Biar balik tidorq.!

Wuquf ertinya berhenti. Maksudnya jemaah haji kena berhenti sekejab di bumi Arafah. Tak perlu buat apa-apa di sini  kecuali ‘berhenti’ dari segala-gala untuk Allah, yakni untuk berzikir, bertalbiyah serta berdoa dengan penuh pengharapan menadah tangan ke arah qiblat.

Jadi bila orang sebut berwuquf di Arafah maknanya berada di bumi Arafah dalam tempoh manapun bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit Fajar 10 Zulhijjah. Wuquf tidak dibuat pada hari dan waktu yang lain. Ia bermula sesudah solat Zohor yang ditunaikan secara Qasar dan Jamak dengan Asar (Jamak Taqdim).

Di sinilah Nabi Muhammad saw menyampaikan khutbah terakhirnya (Khutbah Wida’) atau khutbah selamat tinggal. Khutbah tersebut disampaikan sebelum solat Zohor. Peristiwa penting ini merupakan amanat terakhir Rasulullah saw kepada umatnya dan isi khutbah itu patut dijadikan panduan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Pada ketika itu jugalah turunnya wahyu yang terakhir kepada baginda….surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud..:

“Pada hari ini orang kafir telah berputus asa untuk (mengatasi) agama kamu. Oleh sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada Aku.  Pada hari ini, Aku telah sempurnakan untuk kamu agama kamu dan aku telah sempurnakan penganugerahan nikmatKu kepada kamu dan aku telah redho islam sebagai agama untuk kamu.”

 Para sahabat telah ambil faham dengan matahati mereka bahawa masa hidup Rasulullah saw tidak lama lagi akan berakhir. Baginda telah menunaikan tugasnya sebagai Nabi dan Rasul dengan menyampaikan risalahNya dan tiada lagi tugas lain melainkan akan mengadap Allah swt. Saidina Umar ra telah menangis dan benar-benar merasai bahwa hari perpisahan mereka semakin hampir.

 Menurut riwayat Jabir ra selepas Rasulullah saw mengerjakan solat Jamak Zohor-Asar, “Rasulullah menunggang unta betinanya Qashwa hingga sampai ke tempat wuquf, lalu mengarahkan untanya menuju ke kawasan batu, dan barisan orang-orang di depannya, dan baginda mengadap qiblat. Baginda tidak memutuskan wuqufnya hingga matahari terbenam dan warna kekuningan senja mulai lenyap sampai matahari tidak kelihatan.”

Maksud ‘kawasan batu’ bermaksud kawasan batu-batu yang menghampar di kaki Jabal Rahmah, yakni satu anak bukit yang terdapat di tengah Padang Arafah. Bukit ini dinamakan Jabal Rahmah kerana disinilah tempat pertemuan Nabi Adam as dengan isterinya Siti Hawa yang terpisah selama 40 kerana dikeluarkan dari syurga. Peristiwa pengusiran Nabi Adam as dan Siti Hawa merupakan pengajaran kepada kita semua akan liciknya tipu daya syaitan. Malaikat Jibrail as telah mengajar Nabi Allah Adam bagaimana memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah swt. Doa ini terdapat dalam surah Al-A’raf ayat 23.

“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya akan akan termasuk dalam golongan prang yang rugi.”

Maha Suci Allah, Allah Al-Ghafur telah menerima taubat mereka berdua dan di Padang Arafah inilah Allah telah memberi Maghfirah dan Rahmah kepada Nabi Adam serta isterinya di atas permohonan taubat mereka. Oleh sebab itu wuquf di Arafah merupakan Maghfirah dan Rahmat kepada mana-mana hambaNya yang bertaubat dan memohon rahmat disisiNya.

Satu lagi peristiwa penting ialah di sinilah jugak Nabi Allah Ibrahim as menerima perintah agar menyembelih anaknya Nabi Ismail as. Ada ulama menamakan hari wuquf sebagai Hari Tarwiyah (renungan). Ia merujuk kepada renungan Nabi Ibrahim berulangkali setelah diberi mimpi 3 malam berturut-turut akan perintah Allah itu. Akhirnya baginda membuat keputusan setelah tahu (Arafa) dan yakin sesungguhnya itu merupakan satu perintah daripada Allah swt.

Apabila matahari 9 Zulhijjah itu terbenam, para jemaah haji akan terus berangkat meninggalkan Arafah untuk menuju ke Muzdalifah tanpa menunaikan solat Maghrib kerana akan menunaikan secara Jamak Ta’khir di Muzdalifah. Sedih masa nih..! Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Jabir ra bahawa Rasulullah saw ketika bertolak ke Muzdalifah, meminta para sahabat yang mengikutnya supaya bergerak dengan tenang dan terus bertalbiyah.

Sungguh Padang Arafah adalah tempat semua  jema'ah melakukan kesaksian di hadapan Allah swt sebelum melakukan kesaksian di hari kiamat. Kesaksian inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah swt :

"Hari itu manusia dikumpulkan dan pada hari itu manusia disaksikan."  (Surah Huud : 103)

لبيك اللهم لبيك, لبيك لا شريك لك لبيك, إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك 

 Moga kita semua menjadi tetamu Allah semasa di dunia ini dan di akhirat sana nanti dengan sajian nikmat syurgaNya.

habih dah....

Al-Hakir wal Faqir ilallah,
Hamza Rahman Asy-Syathary

1 comment: